• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Pembatalan WBB bukti kerajaan prihatin terhadap kebajikan petugas kesihatan

Spread the love

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang sebelum ini dicadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata keputusan itu membuktikan kerajaan prihatin terhadap kebajikan petugas kesihatan dan memahami keperluan untuk melakukan kajian yang lebih menyeluruh sebelum melaksanakan sebarang perubahan besar dalam sistem waktu bekerja.

“CUEPACS juga ingin menegaskan cadangan WBB ini bukan berasal daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seperti yang disalahertikan oleh sesetengah pihak.

“Sebaliknya, ia adalah cadangan daripada Medical Advisory and Action Committee (MAAC),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Adnan, tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan kumpulan pegawai ini tanpa asas yang kukuh.

Katanya, PTD sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dengan profesional dan berintegriti demi kepentingan Negara.

Sementara itu, Adnan berkata CUEPACS turut menyokong langkah KKM untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata CUEPACS berharap jawatankuasa ini akan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan, termasuk wakil kesatuan sekerja dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan kesihatan.

Mengulas lanjut, Adnan berkata CUEPACS menegaskan sebarang perubahan dalam sistem waktu bekerja mestilah dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan perkhidmatan, kebajikan pekerja, dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Keputusan Jemaah Menteri untuk meneliti semula cadangan WBB ini adalah langkah yang tepat bagi memastikan sebarang perubahan yang dibuat adalah berlandaskan kajian yang menyeluruh dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak.

“Sehubungan itu, CUEPACS dengan tegas menyeru semua pihak agar tidak lagi membuat spekulasi atau menyalahkan mana-mana pihak secara tidak adil.

“Sebaliknya, semua tenaga harus difokuskan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Minggu lalu, Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.

KKM menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation