PUTRAJAYA, 5 September 2024 – Kerajaan menganjurkan Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), yang merupakan kesinambungan kepada perancangan RMK-12 pada hari ini.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini, ekonomi Malaysia telah berkembang dengan ketara daripada pergantungan kepada getah dan bijih timah semasa pasca kemerdekaan, namun transformasi lanjut diperlukan untuk mengekalkan kelebihan daya saing dan
daya tahan dalam dunia yang semakin mencabar.
“Kerajaan komited untuk melaksanakan reformasi radikal, berani dan transformatif yang akan memperkukuh asas ekonomi negara, memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensi besar rantau ASEAN.
Dengan ASEAN dijangka menjadi pasaran pengguna keempat terbesar di dunia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, adalah penting bagi kita untuk merebut peluang ini bagi mempertingkat daya
saing, memacu pertumbuhan mampan, dan menjamin masa depan yang makmur untuk semua rakyat Malaysia.” katanya.
RMK13 akan menjadi dokumen strategik yang ringkas namun komprehensif, direka untuk mudah difahami oleh semua rakyat Malaysia. Katanya lagi, RMK13 akan menumpukan keutamaan cabaran ekonomi dan melaksanakan reformasi yang lebih radikal secara tersusun, membolehkan kerajaan tetap adaptif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Bagi memastikan RMK13 mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia, Kementerian Ekonomi akan melancarkan jelajah ‘Madani Mendengar’, satu inisiatif untuk mengumpulkan input daripada kumpulan pemikir awam, wakil sektor swasta, dan rakyat biasa di seluruh negara. Sesi jelajah ini akan diadakan di kesemua 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan untuk memastikan setiap orang mempunyai peluang untuk menyuarakan kebimbangan, pandangan dan juga cadangan mereka untuk membantu membentuk masa depan negara.
‘Madani Mendengar’ akan menjadi platform bagi membolehkan semua suara dapat didengar, membimbing proses reformasi dan memastikan penggubalan dasar selaras dengan keperluan sebenar rakyat.
Pandangan-pandangan ini juga boleh disampaikan melalui portal RMK13 yang baru sahaja dilancarkan di pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my.” kata Rafizi.
Beliau turut menyeru semua rakyat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perjalanan ini.
“Kejayaan RMK13 bergantung kepada pendekatan keseluruhan negara.
Dengan semangat kerjasama dan visi yang sama, Malaysia berada di ambang mencapai kemajuan ekonomi yang lebih besar melalui RMK13.” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment