Oleh: Muhammad Amirul Asyraf Mohd Kadri
Melihat kepada kemudahan perkembangan ilmu pada masa kini, institusi tahfiz di seluruh negara juga tumbuh bagai cendawan. Bilangannya yang begitu banyak memungkinkan kita untuk meramaikan lagi golongan al-Hafiz, iaitu mereka yang telah menghafal 30 juzuk al-Quran dengan lengkap, sejajar dengan hasrat kerajaan melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara untuk melahirkan 125,000 huffaz professional.
Matlamat mulia ini menandakan permulaan perkembangan pesat pendidikan tahfiz di negara kita. Pada 7 Disember 2013, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia Ketika itu, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Model Pendidikan Islam Ulul al-Bab diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara mulai tahun 2014.
Pengumuman ini menyaksikan aliran TMUA (Tahfiz Model Ulul Albab) ini telah diperluaskan perlaksanaannya meliputi SBPI (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi), dan SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) serta program Ulul Albab di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara). Ini merupakan suatu perkembangan yang sangat baik dalam usaha pihak kerajaan untuk meramaikan lagi golongan penghafal al-Quran dalam kalangan umat Islam di Malaysia, sekaligus memartabatkan al-Quran di mata masyarakat.
Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa di sebalik kuantiti yang ingin dikejar, jangan dilupakan kualiti yang kepentingannya jauh melebihi kuantiti. Ini adalah supaya pelajar-pelajar yang sudah tamat pengajian mereka di mana-mana sekolah, madrasah, pondok atau mana-mana sahaja institusi yang menawarkan program tahfiz, tidak hanya mempunyai sijil khatam hafazan sahaja, tanpa ada hafazan yang berbaki dalam ingatan mereka.
Hafazan al-Quran mempunyai dua elemen yang utama, iaitu tasmi’ (memperdengarkan) hafazan baharu dan murajaah (mengulang) hafazan lama. Tindakan terlalu fokus kepada hafazan baharu sahaja dengan matlamat untuk menamatkan hafazan dengan kadar masa yang cepat dikhuatiri akan menyebabkan hafazan lama tidak dijaga dan terus hilang daripada ingatan; ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Situasi hari ini lebih banyak mementingkan kuantiti berbanding kualiti. Contohnya, para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh yang sekejap akan diberikan hadiah sebagai tanda penghargaan. Sudah tentu ini merupakan suatu pemangkin semangat untuk para pelajar dalam menamatkan hafazan mereka secepat yang mungkin.
Kebiasaannya, para pelajar yang terlalu memecut hafazan mereka untuk mengejar masa untuk menamatkan hafazan, hafazan mereka tidak kukuh, bahkan kemungkinan besar hanya sedikit sahaja yang kekal dalam hafazannya. Ini adalah kerana apa yang dihafal pada hari ini tidak diulang lagi disebabkan fokusnya hanya kepada hafazan yang akan dibaca di depan gurunya untuk hari esok, lusa dan seterusnya.
Walau bagaimanapun, ianya tetap bergantung kepada kemampuan pelajar tersebut dan kerjasama yang padu dan kukuh antara guru dan pelajar. Sekiranya pelajar tersebut menamatkan hafazannya dalam tempoh yang cepat, dan mampu mengingat hafazannya dengan baik, maka itulah yang terbaik.
Seorang pelajar yang tasmi’ satu muka surat sehari, dan masih mampu mengingati kesemua muka surat yang dihafalnya adalah lebih baik berbanding pelajar yang tasmi’ lima muka surat sehari, tetapi tidak ingat apa yang dihafal sebelumnya. Kepentingan kualiti di sini jelas jauh melebihi kuantiti.
Kehebatan dalam menghafal al-Quran bukanlah dipandang daripada sudut selaju manakah seseorang pelajar itu dapat menamatkan hafazannya, akan tetapi ianya diukur melalui berapa banyakkah hafazan yang kekal dalam ingatannya setelah menamatkan hafazan.
Matlamat utama program tahfiz di mana-mana sahaja institusi ialah sama, iaitu melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai hafazan yang mantap, kuat dan kukuh untuk setiap huruf, kalimah dan ayat al-Quran sebanyak 30 juzuk yang meliputi 604 muka surat. Mereka boleh membaca atau menyambung mana-mana sahaja ayat tanpa melihat mushaf dengan kesalahan yang sangat minima.
Melihatkan kepada matlamat utama ini, maka perlulah disemai dalam diri setiap pelajar sejak awal mereka memasuki dunia tahfiz agar menyedari apa sebenarnya yang perlu dilakukan. Janganlah hanya fokus kepada mengejar masa menamatkan hafazan dan meninggalkan pengulangan hafazan lama. Guru-guru hafazan juga perlu memberi dan menunjukkan komitmen serta tunjuk ajar yang betul, agar cita-cita melihat ‘al-Quran bergerak’ itu tidak hanya tinggal impian. Mari kita sama-samakan jadikan ianya realiti dengan kerjasama semua pihak.
Penulis merupakan Pensyarah Tahfiz Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di amirul.asyraf@uniten.edu.my
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment