SELANGOR, 12 September 2024 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming telah menyempurnakan Pelancaran Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman ‘Plant Factory’ (GPP KiTa) di Laman Sayur MARDI bersempena MAHA 2024, Serdang, Selangor.
Menurut KPKT, GPP Kilang Tanaman (GPP KiTA) itu merupakan salah satu ikhtiar dan usaha KPKT di bawah aspek tatakelola untuk menyeragam serta memudah cara proses permohonan dan kelulusan perancangan bagi menyokong `ease of doing business’ sama ada di pihak pengusaha, atau pihak berkuasa untuk melengkapi keseluruhan ekosistem industri tanaman makanan negara.
“GPP KiTa telah diangkat dan dipersetujui Jemaah Menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri pada 20 Jun 2024 dan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-83 yang telah bersidang pada 10 September 2024.
GPP ini telah disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi, pengusaha dan agensi berkaitan.” kata Kor Ming.
Tambah beliau, penyediaan GPP KiTa selaras dengan keperluan dalam Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KaGuMN) di bawah Inisiatif Amalan Pertanian yang Baik, Inovatif dan Produktif (AP) 4.1 iaitu keperluan meningkatkan kilang tanaman (plant factory) bagi menyokong pertanian bandar dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
“Berdasarkan senario semasa, Malaysia kini berdepan dengan proses urbanisasi yang pesat sebagaimana berlaku di negara membangun yang lain. Kadar perbandaran di Malaysia meningkat kepada 75.1 peratus (24.4 juta penduduk) pada 2020 berbanding 70.9 peratus (19.5 juta penduduk) pada 2010.
Rancangan Fizikal Negara ke-4 (RFN 4) mensasarkan kadar perbandaran negara mencapai 85 peratus pada tahun 2040. Kesan langsung daripada proses perbandaran ini telah menyebabkan pengurangan kawasan pertanian bertanah untuk bercucuk tanam terutamanya di kawasan bandar. Pembangunan kilang tanaman merupakan salah satu kaedah pemajuan yang dapat mengatasi masalah kekurangan tanah pertanian terutama di kawasan bandar dan selaras saranan pertanian pintar.” jelasnya.
Merujuk tafsiran MARDI, pembangunan kilang tanaman didefinisikan sebagai kaedah atau sistem pertumbuhan sayur-sayuran secara tertutup (dalam bangunan) yang menggunakan sistem berteknologi dengan kawalan persekitaran yang optimum bagi penghasilan tanaman yang berkualiti dan pantas.
GPP KiTa meliputi panduan bagi tiga (3) aspek kawalan iaitu pengoperasian, perancangan tapak dan prosedur permohonan dan kelulusan perancangan. Bagi perincian teknikal, keperluan pengoperasian dalaman dan pengurusan tanaman adalah tertakluk di bawah peraturan dan panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI.
Secara asasnya, cadangan pemajuan kilang tanaman dalam GPP KiTa ini melibatkan tiga (3) kategori, iaitu:
(i) Kategori 1: Cadangan pemajuan kilang tanaman di kawasan baharu (bangunan kekal dan separa kekal);
(ii) Kategori 2: Cadangan pemajuan kilang tanaman di kawasan brownfield; dan
(iii) Kategori 3: Cadangan pemajuan kilang tanaman di premis sedia ada.
Dari sudut perancangan, pemajuan kilang tanaman ini merupakan salah satu kaedah terkini untuk menggalakkan pertanian bandar di kawasan yang mempunyai limitasi tanah pertanian serta menyokong pertanian pintar. Dalam masa yang sama, pemajuan kilang tanaman ini dapat merealisasikan saranan inisiatif bagi mencapai keterjaminan sekuriti makanan negara pada masa hadapan dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import.
Penyediaan GPP ini diharap dapat membantu menjadi pemudah cara kepada pemain-pemain industri terutamanya dalam proses kelulusan kilang tanaman bagi memastikan penyediaan kilang tanaman yang tersusun dan terancang dapat dilaksanakan dan secara tidak langsung membantu pertumbuhan ekosistem industri tanaman keterjaminan makanan negara.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment