SEREMBAN, 30 Sept (Bernama) — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Kebudayaan Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Pelancongan Budaya : Festival Caklempong 2024 bermula pada 27 hingga 29 September 2024 bertempat di GEMBOX Nilai, Negeri Sembilan.
Festival Caklempong 2024 merupakan platform utama dalam mempromosi dan mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya dalam kehidupan serta dapat meningkatkan kefahaman dan aprisiasi seni masyarakat ke arah pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Memperluaskan skop pelaksanaan program dan tidak hanya memfokus kepada Caklempong sahaja malah melibatkan pelbagai kesenian dan kebudayaan merangkumi makanan tradisi, persembahan pentas, kraftangan, memberi pendedahan dan peluang penggiat seni peringkat negeri untuk menyertai acara persembahan dan pertandingan – pertandingan yang dianjurkan. Program ini juga berperanan sebagai pusat rujukan dalam menghasilkan karya kreatif, inovatif, berkualiti dan berprestij.
Festival Caklempong 2024 telah menyediakan peluang dan ruang berkarya kepada semua pemain industri daripada setiap peringkat. Ini dapat dilihat melalui persembahan gabungan dan juga penglibatan peserta di dalam pertandingan – pertandingan yang melibatkan pelajar Sekolah, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta penggiat seni khususnya dalam bidang Caklempong. Program ini juga akan menjadi satu asas mendekatkan khalayak seni budaya dengan pemimpin setempat dalam menjayakan falsafah Malaysia MADANI yang diinspirasikan oleh kerajaan perpaduan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YTM Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri , Tunku Besar Tampin. Program ini turut dihadiri oleh YB Puan Nicole Tan Lee Koon Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan & Kesenian Negeri Sembilan mewakili YAB Menteri Besar dan YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN mewakili MOTAC.
Festival Caklempong kali ini telah menampilkan pelbagai acara seni dan budaya untuk dinikmati oleh masyarakat tempatan dan para pelancong. Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan sempena Festival Caklempong ini ialah Pertandingan Caklempong Kreatif, Pertandingan Caklempong Solo, Pertandingan Pa’Chik Formasi Berirama, Pertandingan Ratu Telepuk, Pertandingan Tarian Rampaian Seri Sembilan, Battle of the Buskers, Peraduan Mewarna Kanak – Kanak, Pertandingan Busana Kitar Semula, Hot Air Balloon dan banyak lagi.
Menariknya lagi, Festival Caklempong ini turut membawakan Nismilan Fiesta Food yang menyajikan makanan – makanan Negeri Sembilan dan juga Makan Viral. Selain itu, Telepuk Pound Fitness, Program Buang Sampah Dapat Duit, Jualan Rahmah Madani dan juga BMAX Championship (TAMIYA).
Pada sebelah malam, merupakan acara kemuncak iaitu Konsert Caklempong Extravaganza berkonsepkan Orkestra Caklempong yang membawakan lima puluh (50) orang pemuzik caklempong untuk membuat persembahan. Persembahan ini dibahagikan kepada empat (4) segemen yang berdurasi 1 jam 30 minit iaitu Segmen Irama Malaysia, Segmen Tarian Kreatif, Segmen Kontemporari dan juga Segmen Nusantara. Konsert ini turut dimeriahkan oleh Artis Jemputan terkenal iaitu Datuk Zainal Abidin, Baby Shima, Suki Low dan Northern Anthem.
Harapan agar Festival Caklempong 2024 ini berjaya menarik jumlah pelancong seramai mungkin baik domestik mahupun antarabangsa selain mengangkat kesenian setempat di Negeri Sembilan sebagai salah satu destinasi utama pelancongan di negara ini. Justeru, dalam usaha penganjuran ini untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia dan seterusnya meningkatkan lagi skor pelancongan di peringkat antarabangsa.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment