Oleh: Mohd Anuar Ramli, Muhammad Syafiq Mohd Fuad
Bulan Rejab merupakan bulan yang mempunyai banyak peristiwa bersejarah. Ia termasuklah peristiwa Israk Mikraj, penghijrahan Nabi SAW pertama kali ke Habsyah, berlakunya Perang Tabuk dan pembebasan Baitul Maqdis. Peristiwa Israk Mikraj antara penting dalam Islam. Ia berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke-12 dari masa kenabian.
Peristiwa ini berlaku di tahun 622M, iaitu setahun sebelum Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah. Tahun itu juga disebut sebagai tahun kesedihan bagi Nabi Muhammad SAW kerana terdapat dua insan yang paling banyak bantu baginda telah meninggal dunia iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta Saidatina Khadijah.
Selain itu, kesedihan itu berlarutan apabila Nabi Muhammad SAW dan anak angkatnya Zaid bin Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah ketika berdakwah di sana. Setelah berlaku rentetan kisah duka kepada baginda, lalu Allah SWT menghadiahkan satu peristiwa yang besar dalam sejarah Islam sepertimana terungkap dalam surah al-Isra, ayat 1: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
Asasnya, peristiwa Israk Mikraj mencatatkan banyak hikmah yang dapat diterokai dan diambil manfaat dalam kehidupan seorang Muslim. Antara hikmahnya adalah keutamaan iman dan ketaatan kita sebagai umat Islam. Hal tersebut dapat diteladani menerusi lensa seorang sahabat Nabi yang paling akrab iaitu Saidina Abu Bakar. Beliau digelar al-Siddiq kerana ketaatan dan keimanan beliau lebih dari segala-galanya, malah sanggup mengorbankan dirinya dan keluarganya demi cintanya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Di dalam peristiwa Israk Mikraj, beliau telah mendengar sedikit sahaja cerita dari orang lain tentang Nabi Muhammad telah pergi Masjid al-Aqsa dalam masa satu malam tetapi beliau mengimaninya. Bahkan beliau tetap mempercayai jika Nabi Muhammad SAW naik ke langit dan berjumpa dengan Allah dalam satu malam. Peristiwa ini melibatkan perjalanan yang luar biasa, yang sulit difahami oleh keterbatasan akal seorang manusia.
Peristiwa Israk Mikraj juga merupakan anugerah khusus kepada Nabi Muhammad SAW kerana peristiwa tersebut hanya berlaku kepada baginda sahaja. Ia juga menjadi tanda kebesaran yang diperlihatkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Ia menjadi satu peristiwa yang mencengangkan dalam kalangan orang kafir Quraish kerana perjalanan yang jauh itu dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dalam tempoh semalaman.
Terdapat hikmah yang menjadi rahsia pilihan oleh Allah SWT yang dibahaskan oleh para ulama tentang Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit melalui jalur Baitul Maqdis bukan di Mekah. Ini disebabkan jika Nabi Muhammad SAW terus naik ke langit melalui Mekah, maka tidak menjadi persoalan oleh penduduk Mekah. Hal tersebut kerana orang kafir Quraish tidak pernah naik ke langit, bahkan menjadi bahan jenaka sahaja bagi mereka.
Akan tetapi, jika disebutkan oleh Nabi tentang perjalanan baginda dari Mekah ke Baitul Maqdis, maka akan timbul persoalan di fikiran mereka kerana mereka maklum tentang tempoh yang perlu diambil untuk pergi ke Baitul Maqdis. Mereka tahu keadaan di Baitul Maqdis, jarak perjalanan dan bila waktu yang sesuai untuk pergi ke Baitul Maqdis. Di samping itu, mereka tahu bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah ke Baitul Maqdis dan tidak tahu jalan ke Baitul Maqdis pada waktu ketika itu. Namun, baginda mampu memberikan gambaran dengan tepat.
Oleh itu, sebagai umat Islam, perlulah kita yakin dengan ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW tanpa rasa ragu-ragu atau waswas. Jika disorot dalam realiti hari ini, serangan golongan anti Islam seperti golongan sekular, liberal dan musuh Islam secara bertalu-talu untuk menimbulkan keraguan umat Islam terhadap ajaran Islam dan bertujuan menjauhkan umat Islam dari menjadikan syariah sebagai panduan kehidupan. Justeru, keimanan Saidina Abu Bakar yang jitu dan mantap dalam menerima kisah Israk Mikraj wajar dicontohi.
Selain itu, dalam peristiwa ini juga, Allah SWT telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam kepada umat Nabi Muhammad SAW. Pensyariatan ini meletakkan solat sebagai rukun Islam yang kedua dan menjadi tiang agama. Dengan itu, umat Islam perlu mengambil berat tuntutan solat ini kerana ia adalah ibadah yang menghubungkan secara langsung di antara seorang hamba dengan Allah SWT.
Lantaran itu, sebagai hamba Allah SWT perlulah sentiasa memperbaiki ibadat solat dan cuba untuk mencapai rasa kusyuk ketika mendirikan solat. Dalam surah al-Baqarah, ayat 45 dan 46: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
Dalam ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa untuk mendapat solat yang terbaik adalah melalui sifat sabar dan memohon doa serta rahmat daripadanya melalui solat. Ini merupakan pendekatan yang biasa digunakan oleh para ulama untuk mendapat rasa kusyuk ketika mendirikan solat.
Selain itu, mereka selalu memberi perhatian ketika ingin masuk ke masjid dengan membaca doa ketika masuk ke masjid untuk mendirikan solat. Ini kerana di dalam doa tersebut rahmat daripada Allah SWT akan dipinta supaya diperolehi nikmat rasa kusyuk dalam solat.
Jelasnya, dalam peristiwa Israk Mikraj tersirat beberapa hikmah besar yang dapat kita ambil sebagai ibrah atau panduan kehidupan. Di samping ia sebagai motivasi dan terapi terhadap peristiwa sedih yang dialami oleh Rasulullah SAW, ia turut membawa mesej tentang kekuasaan Allah SWT, gambaran kenikmatan syurga dan seksaan akhirat, dan penerimaan kewajipan mendirikan solat sebanyak lima waktu secara sistematik.
Di samping itu juga, peristiwa ini turut memaparkan seni perundingan, permohonan dan rayuan bagi pengurangan jumlah waktu solat dari 50 waktu menjadi 5 waktu sahaja. Ia juga simbol kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya agar mereka tidak merasai keberatan dalam menjalankan tanggungjawab agama. Jadi jangan sesiakan kasih sayang dan pengorbanan baginda terhadap umatnya.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli adalah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, manakala Muhammad Syafiq Mohd Fuad merupakan mahasiswa dari Universiti al-Azhar, Mesir.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment