KUSKOP BERJAYA BANTU 612,692 USAHAWAN PMKS, KOPERASI SETAKAT SEPTEMBER TAHUN INI
KUALA LUMPUR, 23 November – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya membantu seramai 612,692 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial, usahawan informal, penjaja dan peniaga kecil dalam tempoh Januari hingga 30 September tahun ini di seluruh negara. Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua usahawan itu menerima manfaat daripada pelaksanaan 206 program yang dilaksanakan kementerian dan agensi-agensi kementerian. “Ia merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti, adaptasi digitalisasi dan automasi, peluasan akses pasaran dan pembudayaan keusahawanan dengan nilai pembiayaan RM6.45 bilion,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Dua Tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di KLCC, di sini, hari ini. Ewon berkata, dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, KUSKOP telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program merangkumi aspek penggubalan dasar, tadbir urus dan […]