PADU pastikan hanya yang berhak terima kemudahan dari Kerajaan
PUTRAJAYA, 2 Januari 2024 - Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan bahawa setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak. Ketika berucap di Majlis Peluncuran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui sistem berkenaan, setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielakkan. “Kita bangunkan sistem negara yang lebih canggih, yang mampu bersaing. Perlu tekad baharu dan jangan tolak ansur kerana tanpa PADU terlalu banyak ketirisan, banyak kebocoran dan penipuan. Kalau tidak, tidak ada sebab masih ada kelompok miskin dalam negara,” katanya. Anwar juga menegaskan penyaluran subsidi tanpa pendekatan digital hanya menyebabkan golongan 'maha kaya' dan warga asing akan turut mendapat manfaatnya. “Subsidi diberi kerajaan dikira dengan nilai ringgit sekarang cecah RM80 bilion […]