Memerdekakan perairan kita daripada ‘penjajahan’ ikan bandaraya
Kebanjiran ikan asing di perairan negara merupakan satu situasi yang amat membimbangkan. Pembiakan spesies ikan asing secara berleluasa dan di luar kawalan telah menyebabkan kerosakan, ketidakseimbangan ekosistem biodiversiti akuatik, dan menjejaskan populasi ikan tempatan. Sifat ikan asing yang lebih kuat dan lasak berbanding ikan tempatan mendominasi di perairan seluruh negara. Kebanyakan ikan asing ini dibawa masuk melalui industri akuarium mahu pun akuakultur secara berlesen atau haram. Apabila ikan-ikan ini dilepaskan ke perairan secara sengaja atau tidak sengaja, secara langsung ia menjadi ancaman kepada ekosistem biodiversiti tempatan. Salah satu spesies yang kini mendominasi perairan utama di Lembah Klang ialah Hypostomus plecostomus, atau lebih terkenal dengan panggilan ikan bandaraya. Spesies ikan air tawar tropika yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan ini amat digemari dalam kalangan penggemar ikan hiasan kerana kemampuannya membersihkan akuarium dengan memakan alga. Dengan harga murah sekitar RM2 […]