KPDN serbu tiga buah rumah berhampiran surau yang dijadikan stor pakaian tiruan
PUTRAJAYA 18 Mei 2024 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas tiga (3) buah premis yang merupakan rumah kediaman, salah satunya bersebelahan surau di Kampung Kubu Gajah, Sg. Buloh, Selangor kerana disyaki dijadikan stor tempat menyimpan pelbagai jenis pakaian tiruan pada 15 Mei 2024. Operasi yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya itu adalah hasil aduan yang diterima daripada pihak wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDN. Mengulas lanjut, dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata bahawa hasil maklumat awal yang diperolehi, kesemua rumah itu disyaki dijadikan stor untuk menyimpan kesemua pakaian terbabit sebelum dipasarkan secara borong dan runcit selain dijual di pasar pagi dan pasar malam sekitar Lembah Klang, Perak dan Pahang. […]