Perjanjian Persefahaman Kerjasama pastikan kestabilan politik negara berada dalam tahap terbaik dan kukuh – Ahmad Zahid
17 Disember 2022 - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk membentuk kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah suatu inisiatif jangka panjang untuk memastikan kestabilan politik negara berada dalam tahap terbaik dan kukuh, maka fokus kepada isu ekonomi dan rakyat dapat diutamakan. Katanya dalam satu catatan di Facebook rasmi beliau hari ini, fokus ekonomi perlu diberikan perhatian segera lebih-lebih lagi persediaan negara mendepani suasana ekonomi yang lembap. "Malah Bank Dunia menjangkakan peningkatan agresif terhadap dasar kadar faedah di negara-negara seluruh dunia akan membawa kepada kemelesetan ekonomi global pada 2023. Implikasinya adalah tahap permintaan akan berkurangan akibat kadar faedah yang tinggi yang seterusnya merencatkan ekonomi dunia. Terdapat juga kemungkinan Amerika sebagai kuasa ekonomi dunia akan terjerumus dalam masalah ekonomi dan ini memberikan kesan langsung yang tidak baik kepada dunia. […]