Fahami jangka hayat sisa jika ingin selamatkan Bumi

Spread the love

Oleh: Dr. Siti Nazziera Mokhtar

Setiap jenis sisa yang dihasilkan oleh manusia mempunyai jangka hayat yang berbeza sebelum ia terurai sepenuhnya di dalam tapak pelupusan. Perbezaan tempoh jangka hayat sisa ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, tetapi juga membebankan keupayaan tapak pelupusan untuk menampung jumlah sisa yang semakin meningkat.

Dengan purata penghasilan sisa pepejal harian di Malaysia yang mencapai hampir 38 juta kilogram atau secara puratanya 1.17 kilogram bagi setiap orang, isu ini menjadi semakin mendesak untuk ditangani.Ia perlu diingat bahawa kadar penguraian sisa bergantung kepada keadaan tapak pelupusan.

Faktor seperti tahap kelembapan, pengudaraan, dan suhu memainkan peranan penting dalam menentukan berapa lama sesuatu bahan sisa akan terurai. Walaupun sumber berbeza memberikan maklumat yang sedikit berbeza mengenai tempoh sebenar pelbagai jenis sisa terurai di tapak pelupusan, perbezaannya biasanya tidak terlalu besar.

Mari kita lihat lebih dekat tempoh jangka hayat beberapa jenis sisa biasa yang sering dihasilkan oleh kita seharian.

•             Kertas: Kertas merupakan salah satu bahan yang cepat terurai, mengambil masa antara 2 hingga 6 minggu untuk terurai sepenuhnya.

•             Kadbod: Kadbod, yang biasanya digunakan untuk pembungkusan, memerlukan sekitar 3 bulan untuk terurai.

•             Pembungkus Plastik: Pembungkus plastik menyumbang sebanyak 23.9%, bersamaan kira-kira 3.2 juta tan setahun daripada keseluruhan jenis sisa yang terhasil di Malaysia. Plastik juga merupakan bahan yang sukar terurai dan jumlahnya semakin bertambah akibat pembelian dan penghantaran produk secara dalam talian. Sisa plastik mengambil masa sekitar 5 tahun untuk diuraikan; walaupun ini lebih singkat berbanding beg plastik, ia tetap membawa ancaman serius kepada alam sekitar.

•             Beg Plastik: Beg plastik, yang sangat biasa digunakan, mempunyai jangka hayat lebih lama, iaitu antara 10 hingga 20 tahun, dan merupakan ancaman utama kepada ekosistem.

•             Tisu Basah: Tisu basah, walaupun kelihatan kecil dan remeh, mengambil masa 100 tahun untuk terurai.

•             Botol Plastik: Botol plastik adalah salah satu bahan sisa dengan jangka hayat paling lama, memerlukan masa antara 100 hingga 1,000 tahun untuk terurai. Oleh itu, penggunaan botol plastik sekali pakai perlu dikurangkan secara drastik.

•             Lampin Pakai Buang: Lampin pakai buang merupakan salah satu kategori yang memberi cabaran besar dalam pengurusan sisa pepejal, memerlukan antara 250 hingga 500 tahun untuk terurai sepenuhnya. Ini menjadikannya salah satu bahan sisa yang paling lama kekal di tapak pelupusan.

•             Tuala Wanita Pakai Buang: Tuala wanita pakai buang juga mengambil masa yang sangat lama untuk terurai, iaitu antara 500 hingga 800 tahun. Ini menjadikannya salah satu bahan sisa yang memberi kesan besar kepada alam sekitar jika tidak diuruskan dengan baik.

•             Tin Aluminium: Tin aluminium mengambil masa antara 80 hingga 200 tahun untuk terurai. Walau bagaimanapun, sisa kategori ini boleh dikitar semula hampir sepenuhnya, menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam jika diuruskan dengan betul.

Dengan memahami dan menyedari tempoh jangka hayat sisa untuk terurai, kita diharapkan akan lebih peka dalam memilih produk mesra alam serta tidak berlengah untuk mengamalkan tabiat kitar semula. Ini termasuk berfikir secara bijak sebelum membeli dan hanya membeli barangan yang benar-benar diperlukan. Tindakan ini bukan sahaja dapat menjimatkan ekonomi sendiri tetapi juga membantu mengurangkan penghasilan sisa pembungkusan, khususnya daripada produk berlebihan yang terbazir.

Selain itu, kita perlu mempraktikkan diri untuk mengelakkan penggunaan produk yang menghasilkan sisa yang mengambil masa lebih daripada setahun untuk terurai di tapak pelupusan. Pastikan produk yang boleh dikitar semula seperti tin aluminium, kertas, kaca, dan plastik diasingkan secara betul dan dihantar ke pusat kitar semula. Menggunakan barangan yang boleh diguna semula seperti beg beli-belah guna semula juga sangat signifikan.

Memberi kesedaran awal melalui pendidikan mengenai alam sekitar adalah kunci kepada pembentukan generasi muda yang lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar. Kajian menunjukkan bahawa penglibatan langsung kanak-kanak dalam amalan 3R (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula) memberikan kesan positif dan dapat meningkatkan kesedaran serta mendorong mereka untuk mengamalkan gaya hidup hijau dari usia muda.

Ini adalah langkah penting dalam memastikan masa depan yang lebih lestari bagi bumi kita. Jika langkah pencegahan tidak diambil, kita mungkin akan kehabisan ruang di bumi untuk generasi akan datang bagi menampung sisa yang dihasilkan.

Usaha proaktif dalam pengurusan sisa adalah penting untuk memastikan masa depan yang lebih lestari. Masa depan bumi bergantung kepada tindakan kita hari ini.


Dr. Siti Nazziera Mokhtar

Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation