Mahasiswa memainkan peranan yang penting dalam menyokong pembangunan masyarakat yang inklusif. Tenaga muda mereka amat diperlukan dalam membantu mencipta persekitaran yang lebih positif dan kondusif untuk kanak-kanak istimewa. Mahasiswa sememangnya perlu aktif menyertai program-program sukarelawan terutamanya dalam membantu kanak-kanak istimewa dan berkeperluan khas.
Selain berpeluang membangunkan karekter peribadi, mereka juga dapat meningkatkan daya tahan emosi dan kesabaran ketika berurusan dengan kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas serta meningkatkan empati melalui interaksi dengan kanak-kanak istimewa. Pengalaman sebegini mengajar mahasiswa untuk lebih prihatin terhadap keperluan golongan yang kurang bernasib baik sekaligus membantu mereka menghargai apa yang mereka miliki dan mengamalkan sikap rendah hati.
Terdapat pelbagai teori psikologi, sosiologi, pendidikan, dan pembangunan manusia yang menyokong manfaat yang diperoleh oleh mahasiswa melalui penyertaan dalam program sukarelawan dalam membantu kanak-kanak istimewa dan berkeperluan khas. Misalnya Teori Perkembangan Moral oleh Kohlberg berkaitan Peringkat Moral Konvensional dan Post-Konvensional. Melalui aktiviti sukarelawan, mahasiswa dapat mencapai tahap post-konvensional dengan memahami keperluan masyarakat dan bertindak atas nilai universal seperti keadilan, empati, dan hak asasi manusia.
Begitu juga dengan Teori Kecerdasan Emosi (Emotional Intelligence) oleh Daniel Goleman, dengan aktiviti sebegini, mahasiswa dapat mengenali emosi mereka sendiri semasa berinteraksi dengan kanak-kanak istimewa sekaligus mengasah komunikasi dan kolaborasi dalam situasi yang kompleks. Selain itu, teori Altruisme (Empathy-Altruism Hypothesis) oleh Batson menjelaskan bahawa aktiviti sukarelawan yang dipandu oleh rasa empati akan membawa kepada tingkah laku altruistik, iaitu mahasiswa akan membantu tanpa mengharapkan ganjaran.
Atas dasar itu, Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya (ASTAR) telah menterjemah teori tersebut dalam bentuk amali dengan menganjurkan Projek Semarak Prihatin Astar untuk Komuniti (SPARK) pada 14 Disember 2024. Projek ini melibatkan hampir 60 orang termasuk sukarelawan dari ASTAR dan peserta dari Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan, Kuala Lumpur.
Rumah ini dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan (PKKII) iaitu sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1998. Persatuan ini berperanan menyediakan sokongan kebajikan, penjagaan, dan intervensi khusus untuk kanak-kanak yang mengalami pelbagai cabaran seperti kecederaan otak, autisme, gangguan defisit perhatian dan hiperaktiviti (ADHD), kelewatan perkembangan, serta keperluan khas lain. Sebahagian besar kanak-kanak di sini berasal daripada keluarga ibu atau bapa tunggal, manakala ada juga yang merupakan anak yatim piatu.
Sukarelawan Projek SPARK telah melaksanakan empat modul yang bersesuaian untuk berinteraksi dengan para peserta iaitu: i) Group by Colour, ii) Red Light, Green Light, iii) Bowling dan iv) Draw it. Kesemua modul ini mempunyai kepentingan tersendiri dalam membantu kanak-kanak istimewa dan berkeperluan khas untuk meningkatkan kemahiran kognitif dan psikomotor serta kemahiran insaniah yang lain seperti kemahiran kerja berpasukan, berfikiran kreatif, memahami peraturan dan kemahiran komunikasi. Selain itu, modul-modul ini dapat meningkatkan tahap fokus, meningkatkan keyakinan dan ekspresi diri serta terapi emosi.
Program selama tiga jam tersebut diakhiri dengan sesi pemberian sumbangan yang diketuai oleh Kavin Raj selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan, Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) dan diiringi oleh Pengarah Projek SPARK, Nur Afifah dan Timbalan Pengarah, Muhammad Aizat Syahmi. Sumbangan tersebut disampaikan kepada Puan Fauziah Fazira Abdullah, Pengurus Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan.
Nur Afifah di dalam ucapannya sebagai pengarah menegaskan bahawa, sebagai pelajar undang-undang, projek ini sebenarnya mampu meningkatkan kesedaran berkaitan undang-undang hak asasi. Mahasiswa dapat memahami isu-isu berkaitan hak kanak-kanak istimewa, seperti akses kepada pendidikan, rawatan, dan perkhidmatan sokongan kepada golongan yang tercicir. Di dalam undang-undang hak asasi, tiada seorang pun akan dibiarkan keciciran dari mendapatkan hak-hak utama termasuklah peluang pendidikan. Ini boleh mendorong mereka untuk menjadi advokat atau pendukung dasar-dasar yang lebih adil dan inklusif.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Nur Afifah Ahmad Damanhuri dari Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment