Tanah Runtuh : Sehingga jam 12 tengah hari seramai 60 orang mangsa berjaya diselamatkan
SELANGOR. 16 Disember 2022 - Berhubung dengan insiden tanah runtuh yang terjadi di Father’s Organic Farm, sebuah tapak perkemahan yang bertempat di Kampung Kuantan, Batang Kali, Daerah Hulu Selangor pagi tadi, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa sehingga jam 12:00 tengah hari ini, didapati bahawa 94 orang mangsa berada di kawasan tersebut dan 60 orang yang melibatkan 46 pengunjung serta 14 pekerja telah berjaya diselamatkan. "Saya mengucapkan takziah kepada keluarga 12 mangsa yang telah meninggal dunia akibat tragedi ini; 3 kanak-kanak, 7 wanita, dan 2 lelaki. 22 mangsa belum dikesan dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat diteruskan yang melibatkan 446 anggota yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor serta dibantu dari segi peralatan dan anggota daripada semua agensi kerajaan. Agensi kerajaan telah turun ke lokasi kejadian pagi tadi bagi mengkoordinasikan segala bantuan yang diperlukan […]