CAFEO Kembali Ke Malaysia dengan Fokus kepada Transformasi Digital, Kejuruteraan Pintar dan Penyelesaian Hijau
PETALING JAYA, 31 MEI 2024 - Institusi Jurutera Malaysia (IEM) berbangga mengumumkan Malaysia sekali lagi bakal menjadi tuan rumah bagi acara berprestij Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (CAFEO 42) daripada 22 hingga 24 Oktober 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu. Tahun ini, CAFEO 42 dijangka menarik 200 pempamer dan 1,500 peserta persidangan dari serata rantau ASEAN. Pameran yang diperluaskan ini bakal menyediakan platform unik bagi syarikat, ahli inovasi dan penyelidik bagi mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan terkini. Ia menjadi satu ruangan dinamik bagi membina rangkaian, kolaborasi dan penemuan penyelesaian baharu yang dapat memacu sektor kejuruteraan ke hadapan. CAFEO, satu acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir di antara negara-negara ASEAN, menjadikannya satu acara utama di dalam kalendar kejuruteraan serantau. Persidangan ini menjadi platform penting dalam penukaran ilmu, inovasi dan kolaborasi di antara jurutera, penggubal dasar dan peneraju industri. […]