Tiada isu berkaitan program taklimat permohonan kewarganegaraan – Sheikh Umar
JOHOR, 9 Jun 2024 - Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali meyifatkan tiada sebarang isu yang berbangkit berkaitan program taklimat dan penerangan permohonan kewarganegaraan yang melibatkan ADUN Stulang Andrew Chen. Kata beliau dalam satu kenyataan hari ini, program yang dianjurkan oleh Andrew tidak bersalahan dengan undang-undang. Sebaliknya apa yang mereka lakukan adalah untuk memberi penerangan dan panduan kepada rakyat yang berhadapan isu kewarganegaraan. "Menjadi seorang wakil rakyat, kita sering dihujani dengan pelbagai aduan. Ini termasuklah berkaitan isu-isu status kewarganegaraan, permohonan sijil kelahiran dan seumpamanya. Isu-isu ini timbul antaranya disebabkan kecuaian ibu bapa, status perkahwinan, pengambilan anak angkat dan sebagainya. Sebagai contoh, seorang bapa warganegara Malaysia berkahwin dengan wanita warganegara luar. Atau sesetengah pasangan yang berhadapan isu perkahwinan tidak sah taraf dan tidak didaftarkan di Malaysia. Isu seperti ini bukan rahsia, bukan juga isu terpencil atau perkara luar biasa. […]